Lakaran sejarah yang diukir skuad hoki negara dengan menjuarai Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh semalam tidak hadir begitu sahaja, malah ideologi sains sukan yang diterapkan ketua jurulatih, Arul Selvaraj, mula kelihatan dengan amat ketara.

Biarpun pendekatan itu pada awalnya tidak mudah diterima barisan pemain negara sewaktu mula dibentuk di bawah pengendali itu pada 2020, Arul tetap berkeras untuk menyemat elemen tersebut dalam setiap jiwa The Speedy Tigers.

Sejak hari pertama mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan, Arul tidak pernah jemu membelek data dan menganalisis setiap pemain.

805 hari kemudian, skuad negara membuktikan penggunaan sains sukan merupakan kunci utama untuk mereka menjulang kejuaraan di Ipoh berkenaan, sekali gus menamatkan penantian selama 39 tahun.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Karl Nunis, kapten skuad hoki negara, Najmi Farizal Jazlan, berkata: "Dia memberikan 100 kepercayaannya kepada kami tetapi dia juga memiliki hak untuk menentukan segala keputusan.

"Alhamdulillah, setiap keputusannya memihak kepada kami, untuk kebaikan kami, jadi bagi saya, ia memang keras tetapi kami perlu mengambilnya sebagai pengajaran.

"Sebagai manusia, kita perlu percaya dengan apa yang ada, jadi kami mempercayainya," katanya.

Edisi Piala Sultan Azlan Shah kali ini merupakan yang paling bermakna buat pertahanan senior negara, Razie Rahim, yang bukan sahaja bergelar juara keseluruhan, malah turut bergelar penjaring terbanyak kejohanan dengan enam gol selain menghimpunkan 300 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Razie berkata: "Memang kami datang ke sini untuk memenangi piala kali ini. Komitmen yang diberikan setiap seorang daripada kami sejak perlawanan pertama sampai ke akhir memang sangat tinggi.

"Saya rasa pencapaian 300 penampilan ini untuk pemain-pemain yang lain kerana merekalah yang membantu saya dan memberikan saya sumber inspirasi untuk saya kekal dalam pasukan.

"Sejak dari awal, pasukan Arul ini memang sudah terapkan percaya sesama sendiri, percaya kepada diri sendiri dan perkara itu dapat dilihat dalam pasukan ini.

"Apa yang penting adalah usaha keras, itulah yang paling penting buat kami dalam pasukan ini," katanya.

Kredit foto: Konfederasi Hoki Malaysia