Bekas penyerang Liverpool dan Bolton Wanderers, El Hadji Diouf, melaungkan tiada apa yang perlu dikhuatiri Senegal untuk berdepan mana-mana pemain England dalam pusingan 16 Piala Dunia di Qatar.

Penasihat dan duta bersama Senegal itu pernah menjulang negara berkenaan ke suku akhir Piala Dunia 2002 termasuk kejayaan mengejutkan juara bertahan, Perancis, di samping ketua jurulatih ketika ini, Aliou Cisse.

Pada usia 41 tahun dan berdasarkan pengalaman 12 tahunnya dalam kancah Liga Inggeris, Diouf percaya tiada apa yang perlu digeruni oleh mereka ketika berdepan England yang kini dibimbing Gareth Southgate.

“Sudah tentu tiada siapa (yang perlu dikhuatirkan),” katanya dipetik daripada media Inggeris, Kilburntimes.


“Kami mnemiliki pemain yang bagus, mereka juga mempunyai pemain yang bagus sementara di atas padang adalah 11 lawan 11 dan anda berjuang untuk negara anda.

“Kami di sini bukan untuk mengatakan kami akan memenangi Piala Dunia tetapi kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa kami mempunyai penjaga gol terbaik menerusi Edouard Mendy, salah seorang pemain pertahanan terbaik (Kalidou Koulibaly) dan pemain muda terbaik.





“Sudah tentu, sepanjang hidup ini saya mahu beraksi menentang England tetapi ia tidak pernah berlaku.

“Mereka mempunyai peluang untuk menghadapi England, kebanyakan mereka tinggal di sana dan mereka mahu membuktikan betapa bagusnya mereka.

"Jika anda bercakap tentang salah seorang pemain terbaik yang kami ada ialah Ismaila Sarr, dia beraksi dalam kejohanan dan dia juga adalah pemain Liga Perdana Inggeris (EPL)."