Piala Dunia: Cisse dedikasi kemenangan buat Sadio Mane
Aliou Cisse memberi penghormatan kepada Sadio Mane yang tidak dapat beraksi selepas Senegal menempah slot ke pusingan 16 Piala Dunia Qatar dengan kemenangan 2-1 ke atas Ecuador semalam.
Ammar Hakim
Tue Nov 29 2022
Aliou Cisse memberi penghormatan kepada Sadio Mane yang tidak dapat beraksi selepas Senegal menempah slot ke pusingan 16 Piala Dunia Qatar dengan kemenangan 2-1 ke atas Ecuador semalam.
The Lions of Teranga memintas lawan mereka itu ke tempat kedua Kumpulan A selepas jaringan daripada Ismaila Sarr dan Kalidou Koulibaly membantu mereka mara ke peringkat kalah mati buat pertama kali sejak 2002.
Keputusan itu menyaksikan Senegal menjadi negara Afrika pertama mengatasi pasukan Amerika Selatan di Piala Dunia sejak Cameroon menewaskan Colombia pada 1990, menamatkan rentetan 21 perlawanan tanpa kemenangan.
Bintang Senegal, Mane, diketepikan daripada Qatar 2022 selepas mengalami kecederaan kaki ketika bersama Bayern Munich, namun Cisse segera mengingati usaha penyerang itu selepas kemenangan tersebut.
"Saya ingin mendedikasikan kemenangan ini kepada seorang pemain yang melakukan perkara luar biasa untuk negara, yang malangnya tiada di sini hari ini. Lelaki itu dikenali sebagai Sadio Mane," katanya.
Senegal berdepan pemenang Kumpulan B Ahad ini, dan Cisse berkata pasukannya akan bersedia untuk bertemu England yang mengatasi Wales 3-0 sebentar tadi.
“Kami sedia untuk bertemu mana-mana lawan dalam pusingan 16," tambah Cisse.
"Kemudian ia akan menjadi peringkat baru buat kami. Kami mengetahui mampu ke peringkat kalah mati, di mana ia akan menjadi perlawanan yang berbeza berbanding aksi peringkat kumpulan.
"Semua menghadirkan pasukan yang berkualiti. Pasukan terbaik beraksi dalam satu kejohanan. Jadi, kami perlu bersedia untuk bertemu mana-mana pasukan.
“Kini situasi menang atau kalah, tiada peluang kedua – jika anda menang, anda akan mara, jika anda kalah, anda pulang.
"Jadi buat masa ini, kami hanya akan menumpukan pada rehat dan cergas untuk perlawanan seterusnya, semudah itu."
1 - Senegal became the first African nation to beat a South American side at the #FIFAWorldCup since Cameroon v Colombia in 1990, ending a 21-game winless run (D4 L17). Lions. pic.twitter.com/NJEnlMdfHs