Senegal berharap ketua jurulatih, Aliou Cisse, segera pulih daripada masalah kesihatannya untuk memimpin negaranya menentang England, awal pagi esok.

Cisse jatuh sakit sejak dua hari lalu dan tidak dapat mengendalikan sesi latihan semalam.

Justeru, dia mewakilkan Regis Bogaert, dalam sidang akhbar menjelang perlawanan pusingan 16, Piala Dunia itu tetapi pembantu jurulatih itu tetap yakin Cisse akan berada di bangku simpanan di Stadium Al Bayt, awal pagi esok.

Dia berkata: "Dia telah jatuh sakit sejak beberapa hari lalu dan dia menugaskan kami (barisan kejurulatihan) agar mengendalikan sesi latihan semalam berdasarkan arahan yang diberikannya.

"Kami pasti esok, dia akan berada di bangku simpanan."

Senegal yang merupakan juara Afrika mengetepikan Ecuador untuk melepasi ranjau Kumpulan A dan ia mencerminkan bahawa reputasi mereka kian meningkat di pentas dunia.



Bogaert menambah: "Kami sedar Senegal mampu menewaskan England. Kami perlu memberi tumpuan kepada identiti Afrika dan bersikap positif atas pengalaman yang kami harungi ketika ini.

"Sejak temasya Piala Dunia yang lalu, kami makin matang. Kami mampu menewaskan sesiapa sahaja dan apabila kami turun ke padang, kami perlu yakin tentang perkara ini.

"Objektif kami adalah untuk lolos. Kami tidak terlalu teruja dan cuba memastikan kami kekal setenang mungkin."

Senegal mula mencuri perhatian dunia dalam edisi 20 tahun lalu menerusi kemenangan 1-0 ke atas Perancis dalam perlawanan pembukaan.