Jurulatih Poland, Czeslaw Michniewicz, belum menemui sebarang kelemahan dalam pasukan Perancis menjelang pertembungan peringkat 16 Piala Dunia, malam ini.

Les Bleus dalam misi mempertahankan mahkota mereka selain memenuhi reputasi selaku pilihan utama untuk mara ke suku akhir, tetapi Michniewicz berharap kerja keras dapat menampung sebarang kelemahan teknikal pasukannya.

Dia berkata tentang Perancis: "Saya telah mencari (sebarang titik kelemahan mereka) tetapi saya masih belum menemuinya.

"Kami perlu memberi tekanan kepada mereka, jika tidak mereka tidak akan melakukan kesilapan. Kami telah mengkaji dan memberi tumpuan kepada gaya permainan mereka.

"Mereka mempunyai pasukan yang hebat, jurulatih yang hebat dan antara pemain berpengalaman dan muda yang bagus."

Poland dikritik kerana gemar bertahan dalam kempen di Qatar, namun Michniewicz percaya dalam fasa kalah mati, mereka sudah boleh melepaskan perkara yang membelenggu mereka.

"Pasukan yang gagal bertahan dengan baik sudah pulang ke negara asal dan menonton di televisyen," tambahnya.

“Strategi kami adalah untuk melepasi peringkat kumpulan dan kini kami mahu menampilkan corak permainan berbeza.





"Tetapi bola sepak adalah mengenai memenangi trofi, anda tidak boleh membiarkan lawan menjaringkan gol dengan mudah. Mereka yang telah melakukannya tidak lagi di sini. Kami dapat bertahan dengan baik dan sehubungan itu kami mengesahkan peluang untuk menentang Perancis."

Kunci kepada strategi baharu yang lebih berani itu ialah menyalurkan umpanan yang lebih baik buat penyerang berbisa, Robert Lewandowski.

"Kami menghadapi masalah di bahagian serangan," katanya lagi.

"Hantaran kami tidak cukup tepat dan kami tidak mencipta peluang yang mencukupi untuk Robert. Kami perlu menghantar bola kepadanya dengan lebih dekat ke kotak penalti."