Lionel Messi adalah sebab di sebalik kegemilangan Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia Qatar menentang Perancis, Alexis Mac Allister percaya, sambil menyatakan pandangannya bahawa penyerang itu adalah pemain terhebat sepanjang zaman.

Messi menjaringkan dua gol dalam aksi dramatik enam gol untuk menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam setiap pusingan kejohanan Piala Dunia, dengan Argentina muncul sebagai pemenang selepas penentuan sepakan penalti.



Penyerang Paris Saint-Germain itu diumumkan sebagai pemenang Bola Emas selepas wisel penamat, manakala penampilannya memberinya penghormatan untuk beraksi dalam perlawanan Piala Dunia terbanyak dalam sejarah (26).

Setelah menambah gelaran Piala Dunia dalam kutipan trofinya, Mac Allister percaya perdebatan mengenai siapa yang terhebat sepanjang zaman telah berakhir.

"Ia sentiasa memihak Messi," katanya.

"Saya fikir dia adalah pemain terbaik di dunia, pemain terbaik sepanjang zaman. Dia hebat, dia seorang pemain yang sangat baik, dia merendah diri.

"Dia mempunyai segala-galanya untuk menjadi pemain terbaik dalam sejarah. Sungguh mengagumkan untuk berkongsi bilik persalinan dengannya dan saya sangat berterima kasih."


Mac Allister turut memberikan pujian untuk penjaga gol, Emiliano Martinez, yang bertindak cemerlang dalam masa tambahan untuk menafikan Randal Kolo Muani sebelum menghalang Kingsley Coman dalam penentuan sepakan penalti.

Ia bukan kali pertama penjaga gawang Aston Villa itu menjadi wira pasukan, selepas menafikan dua percubaan penentuan sepakan suku akhir menentang Belanda, dan Mac Allister menggelar rakan senegaranya sebagai 'hebat'.

"Emi melakukannya dengan sangat baik, dia seorang penjaga gol yang menakjubkan, dia banyak membantu kami semasa kejohanan ini. Saya sangat gembira untuknya dan sangat gembira untuk negara ini dan untuk pasukan ini."