Piala Dunia Qatar: Didier Deschamps impi kegembiraan lebih besar buat Perancis
Didier Deschamps menegaskan masa depannya bukan satu keutamaan ketika ini sambil berikrar menjadikan Perancis "lebih gembira" selepas perlawanan akhir Piala Dunia menentang Argentina, Ahad ini.
Shaiful Shamsudin
Thu Dec 15 2022
Didier Deschamps menegaskan masa depannya bukan satu keutamaan ketika ini sambil berikrar menjadikan Perancis "lebih gembira" selepas perlawanan akhir Piala Dunia menentang Argentina, Ahad ini.
Penyandang juara dunia itu menjelmakan satu lagi prestasi memberangsangkan untuk menundukkan Maghribi 2-0 menerusi jaringan Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani dalam pertembungan separuh akhir di Stadium Al Bayt, awal pagi tadi.
Argentina akan menanti di pentas final tatkala Perancis cuba menjadi pasukan ketiga yang berupaya mengekalkan mahkota itu dalam perhitungan di Stadium Lusail yang berkemungkinan menjadi peluang terakhir ketua pasukan La Albiceleste, Lionel Messi, sementara berpotensi menjadi tanda perpisahan tempoh kendalian ketua jurulatih tersebut.
Zinedine Zidane telah lama dicanang sebagai pengganti Deschamps yang kontraknya bakal berakhir sejurus kejohanan ini, tetapi tumpuannya buat masa ini kekal untuk menikmati kejayaan di Qatar.
"Saya sentiasa berbangga apabila kami mencapai keputusan seperti ini. Ia sangat bagus untuk layak ke final," kata Deschamps dalam sidang media selepas perlawanan.
"Ia bukan satu kemenangan mudah, kami mempamerkan kualiti, pengalaman dan semangat berpasukan kami. Kami terpaksa berhempas-pulas walaupun berdepan detik-detik mencabar dalam perlawanan itu. Sebagai jurulatih, saya sangat bangga dan gembira dengan pemain saya.
"Saya tidak terlalu memikirkan tentang diri sendiri, tetapi saya boleh menghargai hakikat bahawa kami telah mencapai kejayaan ini. Bagi pencapaian saya pula, saya bukanlah perkara yang paling penting di sini.
"Pasukan lebih penting daripada saya. Kami mempunyai peluang untuk mempertahankan kejuaraan kami dalam final, jadi itu sudah pun dianggap pencapaian yang hebat.
"Tetapi kami akan melakukan segala yang terdaya untuk memastikan kami sebagai satu pasukan dan demi negara kami, menjadi lebih gembira pada Ahad ini."