Kylian Mbappe merupakan calon utama untuk menjadi kapten skuad kebangsaan Perancis, demikian disahkan ketua jurulatih pasukan itu, Didier Deschamps.

Deschamps memerlukan ketua pasukan baru menjelang pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Belanda dan Republik Ireland hujung bulan ini selepas Hugo Lloris mengumumkan persaraannya di peringkat antarabangsa.

Lloris mengumumkan persaraannya daripada tugasan kebangsaan selepas tamat final Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun lalu, di mana Perancis tewas kepada Argentina dalam penentuan gelaran, dan Mbappe ketika ini dilihat memiliki kepimpinan untuk menerajui pasukan itu.

"Terdapat beberapa calon yang saya fikir boleh, Kylian salah seorang daripadanya.

"Ini akan melalui satu proses perbincangan dengan mereka sebelum saya membuat sebarang keputusan.

"Terdapat satu tanggungjawab yang terhubung di antara menjadi kapten dengan beberapa tanggungjawab lain yang lebih penting tetapi saya mahu melakukan perbincangan ini secara dalaman sebelum membuat keputusan," kata Deschamps.