Tamparan hebat kepada penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri gagal dalam acara 10 m Terjun Platform Seirama pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha yang menyaksikan mereka turut gagal dalam perebutan ke Sukan Olimpik Paris dalam acara berkenaan.

Ia susulan mereka menamatkan saingan pada tempat ke-12 keseluruhan dalam acara 10 m Terjun Platform Seirama pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar.

Duo tersebut menamatkan saingan di tempat ke-12 dari 16 peserta, dengan kutipan 240.06 mata keseluruhan di Pusat Akuatik Hamad.

Kedudukan teratas dihuni penerjun China, Chen Yuxi-Quan Hingchan dengan mata 362.22 diikuti penerjun Korea Utara Kim Mi Rae-Jo Jin Min (320.70) sementara Great Britain Toulson Lois-SPendolini Sirieix di tempat ketiga. (299.34)

Untuk layak ke Olimpik, Pandelela- Dhabitah perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas dalam kejohanan tersebut.

Terdahulu, Ooi Tze Liang-Muhammad Syafiq Puteh turut tersingkir dalam kategori 3 m papan anjal individu lelaki selepas masing-masing menamatkan saingan di posisi ke-23 (352.10) dan 45 (296.35) mata.

Bagaimanapun, Dhabitah Sabri masih berpeluang untuk layak ke Sukan Olimpik Paris dalam kategori 3 m individu papan anjal dan seirama yang dijadualkan berlangsung hari ini.