Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, gagal melepasi pusingan kelayakan acara kegemarannya, 10 meter platform wanita dalam Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun malam tadi.

Menurut laman sesawang worldaquatics.com, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu mempamerkan aksi hambar apabila sekadar menamatkan saingan dengan catatan 256.40 mata untuk berada pada kedudukan ke-24 daripada 36 peserta.

Seorang lagi wakil Malaysia, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj, turut menampilkan prestasi buruk apabila sekadar merekodkan 206.45 mata untuk berada di tempat ke-35.

Pencapaian itu menyaksikan tiada wakil negara menempah slot ke separuh akhir, selepas kedua-duanya gagal menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik.

Bagi acara berkenaan, penerjun remaja sensasi China, Quan Hong Chan, nyata berada dalam kelas tersendiri untuk mengungguli pusingan kelayakan dengan catatan 435.60 mata.

Kejohanan Akuatik Dunia 2023 akan berakhir 30 Julai ini.

Kredit: Sinar Harian