Hajat hati nak peluk gunung, apakan daya tangan tak sampai. Ratu Terjun Negara, Pandalela Rinong, beraksi dalam penampilan sulung Sukan Olimpik Beijing 2008. Pada usia 15 tahun, anak Bidayuh dari Bau, Sarawak ini sekadar menduduki tempat ke-27 acara 10 meter platform. Chen Ruolin dari China berusia 16 tahun pada waktu itu merangkul pingat emas.

Dalam Olimpik London 2012, Chen Ruolin, yang berusia 20 tahun, menyumbang emas lagi untuk China menerusi acara 10 meter platform manakala Pandalela pada usia 19 tahun ketika itu menggembirakan negara apabila merangkul pingat gangsa pertama acara terjun.

Pandalela terus beraksi lagi dalam Sukan Olimpik Rio 2016 pada usia 23 tahun.

Kelibat Chen Ruolin dari China dalam acara individu sudah tiada, namun muncul pula Ren Qian dari China yang berusia 15 tahun. Walaupun masih muda, Ren Qian menyapu pingat emas acara 10 meter platform.

Pandalela merosot ke kedudukan ke-11 sementara rakan senegara, Nur Dhabitah Sabri, di tempat kesembilan.

Bagaimanapun, gandingan Pandalela bersama Cheong Jun Hoong membuat kejutan memenangi pingat perak pertama negara menerusi acara terjun 10 meter platform seirama.

Emas acara ini dirangkul China menerusi Chan Ruolin (tidak beraksi dalam acara individu) bergandingan dengan Wang Hao.

Pandalela beraksi lagi Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020, pada usia 27 tahun.

Ini penyertaan buat kali yang keempat Pandalela dalam Sukan Olimpik (16 tahun - Olimpik empat tahun sekali).

Kelibat Ren Qian pun sudah tiada. Muncul pula penerjun yang lebih muda, kali ini giliran Quan Hongchan yang baru berusia 13 tahun. Dia menyapu pingat emas acara 10 meter platform.

Pandalela sekadar tempat yang ke-12. Dia juga gagal menyerlah di tempat kelapan bergandingan dengan Leong Mun Yee dalam acara 10 meter platform seirama.

Semalam, dalam Kejohanan Akuatik Dunia, semua penerjun kita, Pandalela, Nur Dhabitah dan Wendy Ng gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024. Tiada apa yang perlu ditangisi.

Namun, ini tamparan kuat kepada atlet negara khususnya penerjun yang berada dalam program podium dan RTG. Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris kini jelas semakin kecil dan mengecil.

Sedar tak sedar, kegagalan demi kegagalan ini memberi petanda bahawa sukan negara kini sedang mengalami proses penuaan dan tepu.

Proses rejuvenasi dan transformasi sukan negara perlu dilakukan segera jika kita tidak mahu terus ketinggalan di belakang negara-negara jiran serantau.

Justeru, saya kongsikan paparan kronologi secara ringkas tentang penyertaan atlet terjun negara kita dalam temasya Sukan Olimpik.

Pada ketika penerjun-penerjun China yang berusia belasan tahun silih berganti merangkul pingat emas dalam temasya Olimpik, kita masih bergantung harapan kepada atlet yang sama sahaja untuk tempoh hampir 20 tahun.

Namun, bagi China dalam sukan terjun ini, usia lebih 20 tahun sudah di kira ' old bird', dan penerjun China sudah hampir menuju ke alam persaraan tetapi bagi kita pula, usia 20 tahun ke atas masih lagi dianggap 'rookie' dan ibarat kerjaya yang baru nak bermula.

Sememangnya kita tidak seramai penduduk negara China dengan ribuan dan jutaan bakat yang mereka ada tetapi di manakah bakat-bakat kita? Adakah kita punya usaha yang berterusan untuk memastikan kita dapat mengikut jejak China melatih penerjun cilik bermula usia empat atau lima tahun? Bila mencecah usia belasan tahun nanti mereka sudah bergelar juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik.

Alangkah sedihnya kita melihat Pandalela dari usia 15 tahun dalam Olimpik hingga 30 tahun sekarang kudratnya masih lagi kita harapkan untuk turun naik terjun, turun naik terjun tanpa lelah untuk mengharumkan nama negara.

Cukup-cukuplah tu.......mari kita lahirkan lebih ramai Pandalela Junior atau Pandalela sendiri membina legasinya sendiri dalam sukan terjun ini. Justeru, pikir-pikirlah sendiri.....