Skuad terjun negara berdepan cabaran untuk mempertahankan dominasi rantau ini apabila Persekutuan Sukan Asia serius membangunkan bakat muda Asia Tenggara.

Malaysia dominan dengan Singapura kian meningkat sementara Vietnam dan Indonesia mula merapatkan jurang.

Tumpuan Majlis Olimpik Asia (OCA) terarah untuk membangunkan Laos dan Kemboja menerusi Kem Terjun Remaja Asia di ibu kota hingga 21 Ogos ini.

“Ini julung kali diadakan untuk terjun, ia bertujuan mewujudkan peluang yang sama untuk penerjun, jurulatih dan buat pertama kali melibatkan pengadil. Ia menggabungkan kedua-dua aspek pendidikan dan teknikal, dengan pembelajaran teori pada pagi dan praktikal di Pusat Akuatik Nasional di sebelah petang, serta pertandingan pada hari terakhir,” kata Ketua Pembangunan Atlet dan Projek Khas OCA, Tony Tarraf.