Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi, mahu semua pihak menerima hakikat bahawa pemain tempatan bakal hilang kedudukan di kesebelasan utama satu masa nanti demi kelangsungan Harimau Malaya di peringkat Asia.

Namun, situasi tersebut mampu diubah atas dasar kemahuan pemain tempatan itu sendiri yang mahu mempertahankan tempat mereka seperti contoh yang telah dibuktikan pemain sensasi Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman.

"Dia (Arif Aiman) dah tunjukkan yang dia sudah menjadi taraf pemain luar negara.




"Kalau ada 11 Arif Aiman sudah tentu skuad negara tidak perlukan pemain asing contohnya.

"Namun, untuk sampai ke tahap tersebut, setiap pasukan haruslah menunjukkan yang mereka mampu bersaing," katanya.

Selagi tiada tindakan proaktif dari pemain tempatan, FAM dan seluruh peminat sukan Tanah Air perlu mengakui betapa perlunya kelibat pemain berdarah campuran dalam memenuhi hasrat besar badan induk itu.

"Beberapa tahun lalu, pemain yang mahu mewakili negara sangat sukar kerana kerap mengalami kekalahan.

"Tetapi akhir-akhir ini, ramai pemain menunjukkan minat untuk bermain demi negara kerana Malaysia sudah berada di tahap terbaik," tambahnya.