Ketua jurulatih Selangor, Nidzam Jamil, mengakui bahawa skuad bimbingannya patut menjaringkan lebih banyak gol ketika perlawanan menentang Dynamic Herb Cebu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

"Semua yang saksikan aksi tadi juga boleh nampak yang Selangor mempunyai banyak peluang terhidang tetapi sebagai pengurus, ada beberapa perkara yang perlu dibaik pulih.

"Tahniah kepada semua pemain kerana memenangi perlawanan dengan 1-0 meskipun aksi tidak begitu mudah apabila satu per satu percubaan disia-siakan, namun inilah bola sepak," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.



Nidzam turut mendedahkan permainan sebentar tadi seakan mirip ketika bertemu Muangthong United pada minggu lalu apabila banyak peluang dilepaskan oleh pemain The Red Giants.

Pun begitu, dia gembira dengan keputusan tersebut sambil bersyukur dapat mengumpul empat mata selepas dua perlawanan.