Tonggak baru Johor Darul Ta'zim (JDT), Jorge Obregon, menjadikan rakan sepasukannya, Bergson Da Silva, sebagai mentor sekaligus menolak untuk dilabelkan sebagai penyerang nombor satu Harimau Selatan ketika ini.

Dalam temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, penggempur dari Colombia itu menegaskan bantuan Bergson ketika dalam sesi latihan banyak membantunya cepat menyesuaikan diri bersama pasukan.




Obregon menjadi pilihan utama untuk mengetuai jentera serangan JDT untuk dua perlawanan berturut-turut dalam kempen Liga Juara-Juara Elit (ACLE) berdepan Shanghai Port dan Shanghai Shenhua sebelum ini.

Penyerang berusia 27 tahun ini meledak gol sulung dalam kejohanan ACLE serta jaringan keduanya ketika menewaskan Shanghai Shenhua 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, minggu lalu.

"Ketika saya hadir ke sini, dia banyak membantu saya dan kami banyak berbual juga sebelum ini. Jadi, saya tidak berfikir saya sebagai penyerang nombor satu, saya juga mahu beraksi bersama dia.




"Dia beraksi dalam aksi sebelum ini dan membantu kami mendapatkan tiga mata.

"Saya hanya melakukan kerja saya, jika saya beraksi dia gembira dan begitu juga sebaliknya jika dia yang memulakan perlawanan dalam kesebelasan utama. Saya berharap kami dapat beraksi bersama dalam satu perlawanan nanti." katanya.