Jersi yang dipakai Diego Maradona ketika menentang England yang menyaksikannya menjaringkan gol "Tangan Tuhan" dijangka dilelong dengan harga sekurang-kurangnya £4 juta (RM22j).

Maradona menjaringkan dua gol paling diingati dalam sejarah Piala Dunia ketika menumbangkan The Three Lions dalam suku akhir kejohanan 1986 di Mexico.

Bekas kapten Argentina tersebut melonjak sambil menumbuk lambungan bola berkenaan untuk mengatasi kepungan Peter Shilton di Stadium Azteca itu tatkala pengadil gagal mengesan insiden terbabit.

Dia juga memperdayakan ramai pemain England sebelum meledak gol solo menakjubkan dan dua jaringannya menjadi penentu untuk menjulang kejayaan 2-1 La Albiceleste sebelum ditabalkan sebagai juara.

Maradona menyifatkan gol pembukaannya itu dijaringkan sebagai "sedikit dengan kepala Maradona dan sedikit dengan tangan Tuhan" selain berasakan dia telah membantu negaranya membalas dendam 'simbolik' terhadap Perang Kepulauan Falkland.

Selesai perlawanan suku akhir itu, legenda Napoli yang lincah tersebut sempat menukar jersi dengan pemain tengah England, Steve Hodge.

Jersi itu telah dipinjamkan kepada Muzium Bola Sepak Kebangsaan di Manchester dan akan dipamerkan di Sotheby's di London bagi tempoh bidaan di antara 20 April hingga 4 Mei depan, tetapi ia dijangka bukan murah.

Ketua Streetwear dan koleksi moden di Sotheby's, Brahm Wachter, berkata: "Tangan Tuhan benar-benar detik tunggal bukan sahaja dalam sejarah sukan, tetapi dalam sejarah abad ke-20.

"Detik itu bergema jauh melangkaui dunia bola sepak, terhasil tidak lama selepas konflik Falklands, seterusnya memberi inspirasi kepada penerbitan buku, filem dan dokumentari. Maradona kini diingati sebagai salah seorang pemain terhebat bola sepak dan perlawanan getir seperti ini adalah bahagian penting sepanjang kariernya.

"Sudah tentu, bukan sahaja Gol Tangan Tuhan dijaringkan dalam perlawanan ini tetapi juga diangkat selaku Jaringan Sepanjang Zaman kerana dianggap salah satu gol individu terhebat."