MALAYSIA 3 INDIA 3

Skuad hoki negara menempa laluan berliku untuk layak ke final Kejohanan Hoki Piala Asia selepas terikat 3-3 dengan India dalam aksi kedua pusingan Super 4 di Kompleks Sukan GBK, Jakarta sebentar tadi.

Selepas terikat 2-2 dengan Korea Selatan dalam aksi pertama semalam, Malaysia memerlukan kemenangan ke atas pasukan juara bertahan, India, untuk memudahkan laluan ke final.

Dan perkara itu kelihatan akan menjadi kenyataan apabila Razie Abdul Rahim meneruskan momentum cemerlangnya untuk meletakkan Malaysia 2-0 di depan menerusi dua pukulan sudut penalti dalam babak pertama, masing-masing pada minit ke-12 dan 21.

Bagaimanapun, India mula merencanakan kebangkitan dalam separuh masa berikutnya, bermula dengan gol pukulan sudut penalti Vishnukant Singh pada minit ke-32 dan kemudian disusuli dengan jaringan padang S. V Sunil pada minit ke-53.

Skuad negara berada di ambang bahaya pada minit ke-55 apabila Nilam Sanjeep Xess meletakkan India di depan menerusi satu lagi pukulan sudut penalti.

Mujur Razie tidak mensia-siakan peluang untuk sekali lagi mencipta hatrik hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-56 -- golnya yang ke-12 dalam kejohanan ini untuk kekal berada di tangga teratas senarai penjaring terbanyak.

Dengan keputusan itu, The Malaysian Hockey Tigers memerlukan kemenangan dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol ke atas Jepun dalam aksi terakhir Rabu ini atau berharap akan ada pemenang di antara India dan Korea Selatan dalam satu lagi perlawanan untuk melayakkan diri ke final.