Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui gol pertama pasukannya berjaya menaikkan semangat mereka untuk menang 3-0 ke atas Kuantan FA di Stadium Darulmakmur, malam tadi.

Dalam perlawanan itu, Terengganu gagal menyaingi dominasi lawan yang melancarkan serangan demi serangan sehinggalah Kipre Tchetche menjaringkan gol pendahuluan menerusi serangan balas pada minit ke-35.

Irfan berkata pasukannya dibantu kegagalan Kuantan memanfaatkan deretan peluang terhidang dan bernasib baik untuk membawa kedudukan 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Persembahan dalam 45 minit kedua, ujarnya, menunjukkan kebangkitan Terengganu untuk menguasai rentak permainan serta menambah kelebihan jaringan.

“Saya cukup bimbang melihat keadaan pemain-pemain dalam sesi latihan terakhir kerana mereka begitu letih.

“Gol pertama itu telah menaikkan semangat kami untuk bangkit dan memenangi perlawanan ini,” ujarnya.

Berbaki tiga perlawanan, ketua jurulatih berusia 66 tahun itu menganggap perjalanan masih jauh dengan kesemua baki perlawanan diadakan di tempat lawan.

Malah, katanya, peluang tetap terbuka buat Terengganu dan pencabar terdekat, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk merebut dua slot ke Liga Super 2018.

“Saya yakin dengan kemampuan pemain-pemain untuk mencapai sekurang-kurangnya dua lagi kemenangan,” tambah Irfan.

Rakan sejawatannya di Kuantan, Zulhamizan Zakariah, pula enggan menyalahkan penyerangnya, Ljubo Baranin, yang memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Menurutnya, dia tetap berbangga dengan tentangan yang diberikan pasukannya sambil menyifatkan nasib ternyata menyebelahi Terengganu.

“Inilah bola sepak, walaupun mencipta sehingga lapan peluang, namun kami dihukum dengan satu kesilapan.

“Benteng pertahanan hilang fokus dan kami dibolosi ketika serangan pertama Terengganu,” katanya.

Dua kedudukan teratas Liga Perdana kini diterajui Kuala Lumpur dan Terengganu yang masing-masing mengumpul 41 mata dan hanya dipisahkan oleh perbezaan jaringan.

Mengekori rapat ialah Negeri Sembilan dengan 38 mata manakala PKNP di tangga keempat memungut 37 mata.