Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) percaya skuad Harimau Malaya masih mendapat sokongan padu daripada peminat bola sepak negara walaupun kini tidak lagi dibimbing oleh Kim Pan-gon.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, berkata ia kerana corak dan DNA yang diterapkan oleh Pan-gon akan terus segar dalam pasukan kebangsaan dan diteruskan oleh pembantunya Pau Marti Vicente yang kini menggalas tugas ketua jurulatih sementara dan dibantu barisan kejurulatihan sama.

"Pandangan kami (FAM) nampak OK sebab pembantu jurulatih, Pau Marti, sebagai ketua jurulatih dan barisan kejurulatihan lain masih ada. Saya rasa perkara itu tiada masalah," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditanya adakah FAM gusar ketiadaan Pan Gon akan menjejaskan sokongan peminat terhadap pasukan negara dalam Pestabola Merdeka 2024 yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 8 September depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dalam pertandingan bola sepak berprestij Asia yang memasuki edisi ke-43 itu, Malaysia diundi bertemu Filipina sementara juara bertahan, Tajikistan, berdepan Lubnan dalam aksi separuh akhir pada 4 September sebelum pemenang akan berentap dalam final empat hari kemudian.

Sebelum ini, Pan-gon membuat kejutan meletakkan jawatan pada 15 Julai lalu atas alasan peribadi sebelum dia dilaporkan menandatangani kontrak dengan pasukan Korea Selatan, Ulsan HD FC 13 hari selepas itu.

Dalam pada itu, Noor Azman juga percaya kemampuan Pau Marti membimbing pasukan kebangsaan, sekali gus memacu pemain mengikut rentak yang ditinggalkan Pan-gon.

"Memang kami yakin kerana dia sudah bersama kami hampir dua tahun lebih dan kami percaya dia mampu membawa pasukan," katanya.




Dia juga memberitahu perlawanan persahabatan pada kalendar FIFA membabitkan pasukan negara akan diputuskan oleh Pau Marti dan FAM akan mengumumkan dalam masa terdekat.

"Perlawanan persahabatan belum diputuskan lagi tetapi dalam masa terdekat Pau Marti akan lihat dan putuskan," katanya.

Kejohanan Pestabola Merdeka 2024, September depan dan kejohanan Piala AFF 2024 hujung tahun ini akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) buat Pau Marti untuk dinilai sama ada layak atau tidak mengemudi pasukan negara.

Kredit: Sinar Harian