Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyeru semua penyokong untuk menghentikan boikot menjelang sambutan Pestabola Merdeka 2024 yang bakal berlangsung 2 hingga 10 September ini.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, menerangkan bahawa badan induk itu tidak wajar dipersalahkan atas beberapa isu yang melanda, sebaliknya menggalakkan peminat tempatan terus memberi sokongan tanpa henti.


"Saya menyeru kepada Ultras Malaya serta seluruh penyokong tegar skuad kebangsaan untuk kembali memberi sokongan kerana ini adalah masa yang sesuai untuk skuad negara memperbaiki ranking, seterusnya menjuarai Pestabola Merdeka.

"Sekiranya mereka mempunyai perkara yang diketahui fakta, mereka boleh berjumpa dengan saya atau pegawai FAM yang lain untuk menjelaskan keterangan.

"Saya memohon mereka untuk fikirkan semula agenda tersebut dan menyokong semula pasukan kesayangan, Harimau Malaya, " katanya.