Era baru Harimau Malaya di bawah kepimpinan Pau Marti Vicente akan bermula dengan pertemuan menentang Filipina dalam aksi pertama Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September depan.

Masa ternyata tidak menyebelahi pengendali kelahiran Sepanyol itu untuk membentuk skuad baru yang ampuh dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran muncul juara selepas kem negara berputih mata di pentas final edisi lalu.

Meskipun ia merupakan aksi antarabangsa pertama negara selepas pemergian Kim Pan-gon, jangkaan tinggi tetap diletakkan untuk Pau Marti mengecap kejayaan.

Satu lagi aksi separuh akhir pula mempertemukan Lubnan dan juara edisi lalu, Tajikistan.

"Semestinya kita meletakkan sasaran sebagai juara Pestabola Merdeka," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAM, Firdaus Mohamed, seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Seperti tahun lalu, kita juga meletakkan sasaran sebagai juara, jadi tiada alasan untuk kita tidak bergelar juara bagi edisi kali ini."