Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mempunyai sebab tersendiri mengapa beliau terpaksa mengambil ‘lebih masa’ bagi menjelaskan situasi yang berlaku selepas peletakan jawatan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Menurut Hamidin, beliau mempunyai beberapa tugasan penting yang harus diutamakan terlebih dahulu sebelum mendedahkan cerita sebenar di sebalik keputusan Pan-gon melepaskan jawatannya pada Julai lalu.

“Mungkin ada pihak termasuk pihak media yang tidak tahu mengapa saya mengambil masa yang agak lama bagi menceritakan perkara sebenar. Hari ini (Khamis), biarlah saya jelaskan perkara sebenar.

“Pertamanya, ketika sidang akhbar pengumuman Pan-gon meletakkan jawatan (pada 16 Julai lalu) di Wisma FAM, saya tidak berada di Malaysia kerana sudah berlepas ke Mallorca, Sepanyol.

“Ketika itu, saya dalam tugasan sebagai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024. Pada hari berkenaan (16 Julai), saya berada di Mallorca untuk meninjau persiapan akhir skuad berbasikal trek sebelum ke Paris, Perancis.

“Malah, saya juga sempat menemui (ketua jurulatih) Pau Marti Vicente di Mallorca bagi membincangkan hala tuju pasukan selepas pemergian Pan-gon,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.



Sekalipun sedar FAM termasuk beliau sendiri menjadi menjadi bahan kritikan peminat bola sepak tempatan atas peletakan jawatan Pan-gon, Hamidin berkata, beliau tetap harus memberi fokus terhadap tugasnya sebagai CDM ketika itu.

“Sepanjang Sukan Olimpik Paris berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024, saya harus memberikan tumpuan penuh dengan tugas sebagai CDM kerana itu yang harus diutamakan terlebih dahulu.

“Sebaik sahaja Sukan Olimpik Paris berakhir dan sejurus pulang ke Malaysia, saya perlu menyelesaikan beberapa perkara penting selain perlu menjalani pembedahan katarak mata.

“Maka pada hari ini (Khamis) barulah saya berpeluang menemui pihak media bagi menjelaskan cerita sebenar atau apa sahaja perkara berbangkit mengenai peletakan jawatan Pan-gon.

“Jadi itulah sebabnya saya mengambil masa lebih dua bulan untuk mendedahkan apa yang berlaku,” jelas Hamidin yang menganggap tindakan Pan-gon melepaskan jawatan sebagai tidak profesional.

Sebelum ini, Pan-gon mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan serta merta pada Julai lalu atas alasan urusan peribadi, namun sebenarnya beliau telah menerima jawatan sebagai pengendali kelab Korea Selatan Ulsan HD. - Sinar harian