Pengurus Villarreal, Unai Emery, bangga dan puas selepas membalas dendam ke atas bekas majikannya, Arsenal, untuk membawa pasukan Sepanyol itu mara ke final Liga Europa.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Villarreal, mereka akan bertanding dalam final kejohanan utama Eropah selepas seri tanpa gol di kubu lawan, awal pagi tadi, untuk menjamin kemaraan dengan agregat 2-1.

Emery membimbing The Gunners ke final Liga Europa pada 2019 sebelum dipecat November tahun itu lalu digantikan oleh rakan senegara dari Sepanyol, Mikel Arteta, di London.

Begitupun, Emery akhirnya membantu Villarreal mengakhiri kemarau di Eropah -- Yellow Submarine terkandas dalam empat separuh akhir Liga Europa iaitu edisi 2004, 2011 dan 2016 selain Liga Juara-Juara (UCL) pada 2006.




Sejak penjenamaan semula kejohanan itu pada 2009-10, Emery muncul pengurus paling kerap ke perlawanan akhir iaitu sebanyak lima kali -- 2014, 2015, 2016, 2019 dan 2021).

Dia juga memenangi tiga trofi daripada empat percubaannya bersama Sevilla.

"Ini membawa erti kepuasan dan kebanggaan," katanya kepada wartawan selepas perlawanan.

"Kepuasan atas pekerjaan yang dilakukan dan kebanggaan terhadap projek Villarreal ini sepanjang 23 tahun Fernando Roig bertindak sebagai presiden.

"Mereka pernah layak ke separuh akhir UCL dan tiga Liga Europa jadi kami masih terkial-kial untuk melangkah ke depan.

"Tuntutannya sangat tinggim begitu juga kesulitannya jadi ini membuat kami sangat bangga dapat meraihnya kali ini. Ia juga membuat orang gembira kerana sebelum ini bersedih tidak mencapainya, ini membuat kami sangat bangga."




Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United akan menanti mereka dalam final di Gdansk, Poland, 27 Mei ini.

Villarreal belum tumbang dalam 14 perlawanan Eropah terakhir (12 kemenangan) apabila kali terakhir tewas ialah pada April 2019 (0-2 menentang Valencia dalam pertemuan kedua suku akhir Liga Europa).

"Memang benar sejak awal-awal lagi pilihan utama kejohanan ini adalah Manchester United," katanya.

"Mereka membuktikannya dengan mara ke final. Kami adalah pesaing dan mereka adalah calon pilihan utama seperti Arsenal.

"Kami telah mengharungi dua perlawanan yang menarik, dalam aksi pertama kami mengambil kesempatan merobek gawang lawan. Kami menonjolkan satu persembahan yang sangat serius, dengan beberapa detik permainan yang hebat dan mungkin nasib tidak memihak malam ini walaupun kekal beraksi mantap. "