LEGIA WARSAW 3 ASTON VILLA 2

Unai Emery menegaskan bahawa Aston Villa perlu belajar untuk menangani keperluan dalam kejohanan di peringkat Eropah dan enggan menyalahkan pertukaran yang dilakukannya ketika tewas 2-3 kepada Legia Warsaw dalam aksi Liga Persidangan Eropah (UECL) awal pagi tadi.

Ernest Muci menjaringkan gol kemenangan tuan rumah dalam babak kedua, sekali gus mencalarkan penampilan pertama Villa dalam UECL.

Terdahulu, pelawat bangkit sebanyak dua kali hasil jaringan Jhon Duran dan Lucas Digne dalam babak pertama selepas Pawel Wszolek dan Muci meletakkan Legia di depan.

Ia merupakan antara aksi terburuk pernah dipamerkan Villa sepanjang 11 bulan dikendalikan Emery dan pengurus itu melakukan lima pertukaran dalam perlawanan berkenaan, termasuk memberikan penampilan pertama buat pemain yang dipinjam daripada Barcelona, Clement Lenglet.

Emery berkata: "Saya percaya dengan skuad dan pemain kami dan kami juga boleh tewas perlawanan ini dengan pemain lain di atas padang.

"Setiap aksi di laman lawan peringkat Eropah amat sukar dan ini merupakan satu langkah baru yang kami perlu belajar.

"Kami masih ada peluang untuk kembali memberikan reaksi, kami akan bermain dalam lima perlawanan lagi.

"Ia bukan satu keputusan yang bagus tetapi kami perlu belajar dan memahami bagaimana untuk kami menghadapi perlawanan seterusnya dalam kejohanan ini.

"Kami perlu membina skuad ini, yang beraksi dalam banyak perlawanan, dan kami memerlukan pemain dalam skuad ini untuk memberikan mereka peluang untuk beraksi dan menggunakan kualiti mereka," katanya.