\ASTON VILLA 2 BRIGHTON 1

Unai Emery ingin meraikan kejayaan membawa Aston Villa ke pertandingan Eropah buat kali pertama sejak 2010.

Pengurus itu telah mencetuskan harapan baru di Villa Park sejak dilantik pada Oktober lalu sebaik kelab itu memecat Steven Gerrard yang ketika itu tiga mata di atas zon penyingkiran.

Kemenangan 2-1 ke atas Brighton -- yang sudah layak ke Liga Europa -- sebentar tadi memastikan tempat play-off Liga Persidangan Europa UEFA selepas mereka menamatkan musim ini di tempat ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL).

Douglas Luiz dan Ollie Watkins yang baru pulih meledak gol di sebalik Deniz Undav cuba merapatkan jurang buat Brighton.

“Hari ini adalah detik kami meraikan kejayaan,” katanya.




“Apabila anda bekerja dan memberi fokus saban minggu, anda tidak mempunyai banyak hari untuk meraikan sesuatu, 70 peratus masa kami diperuntukkan untuk bekerja.

“Saya mahu meraikan kejayaan ini bersama kelab, pemain, rakan, keluarga dan saya mahu menikmati apa yang telah kami capai.






“Ia bukanlah objektif utama pada tahun ini, kemajuan kami adalah hebat. Kami melakukannya dan sangat penting untuk meraikannya dan bergembira sekarang bagi menikmati saat manis dalam hidup kami.

“Kami fikir perkembangan kami berjalan lancar sedangkan beberapa pasukan pula tidak tekal.

"Apabila kami menang di Chelsea (kemenangan 2-0 pada bulan lalu untuk memanjat ke tangga kesembilan) kami bersama mereka dan kami berada di tangga ke-11 untuk masa yang lama. Ia adalah langkah paling sukar untuk naik.

“Apabila kami berada dalam 10 teratas kami mula memikirkan untuk mendapat tempat keenam atau ketujuh. Brighton mengharungi musim yang hebat, mereka memang layak untuk berada dalam Liga Europa.”