Pengurus Aston Villa, Unai Emery, mempertahankan kelibat Graham Potter untuk kejayaan jangka panjang di Chelsea sambil berkata sudah ada tanda-tanda kemajuan di Stamford Bridge.

Potter menggantikan Thomas Tuchel pada awal September lalu tetapi masa depannya mula dipersoalkan berikutan kemarau kemenangan dalam 11 perlawanan berturut-turut ketika memulakan tahun ini.

Bagaimanapun, bekas pengendali Brighton & Hove Albion itu perlahan-lahan mengubah situasi dengan Chelsea memasuki rehat antarabangsa dengan mencatat tiga kemenangan dan satu seri.

Justeru, Emery, yang bertahan selama 18 bulan di Arsenal sebelum dipecat pada November 2019 percaya Potter sememangnya layak mendapat peluang untuk menyerlah di kelab besar.

"Dia memberi sentuhan yang menakjubkan di Brighton dan memerlukan masa untuk menyesuaikan ideanya di Chelsea," kata pengurus itu sempena perlawanan tengah malam esok.



"Secara progresif, mereka melakukan yang lebih baik dan lebih baik.

“Kerja Tuchel juga menakjubkan tetapi apa yang dilakukan Potter bersama Brighton sungguh menakjubkan dan dia berhak untuk mengemudi kelab seperti Chelsea.

"Mereka kini semakin maju. Sebagaimana segala usahanya sebelum ini bersama Brighton, dia mampu melakukannya juga di Chelsea. Dia hanya perlukan masa.

“Mereka beraksi dengan baik dalam Liga Juara-Juara (UCL) tetapi tidak begitu tekal dalam EPL.

"Tetapi kami sedar bakal berdepan salah sebuah pasukan terbaik EPL. Ia satu cabaran yang baik buat kami dan inilah sebabnya saya berada dalam kancah ini."