ASTON VILLA 4 EVERTON 0

Pengurus Aston Villa, Unai Emery, menghamburkan pujian terhadap ketua pasukan, John McGinn, selepas barisannya menundukkan Everton 4-0 untuk kemenangan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.


McGinn merembat masuk hantaran lintang Leon Bailey untuk memberikan Villa gol pendahuluan dalam separuh masa pertama sebelum sepakan penalti serta gol daripada Douglas Luiz dalam babak kedua dan pemain gantian, Jhon Duran, melengkapkan kemenangan di tempat sendiri itu tengah malam tadi.

Emery berkata mengenai kaptennya: “Saya sangat gembira bagi pihaknya atas jaringannya. Biasanya dia tidak merekodkan banyak gol.


“Dia perlu menyusup ke dalam kotak penalti untuk mencipta peluang gol dan dia melakukannya dengan sempurna untuk jaringan pertama itu dan prestasinya juga sangat baik hari ini.

“Dia boleh beroperasi di sebelah kanan, sebelah kiri, dan bermain di kawasan dalam.




"Dia tonggak penting kami. Minggu lalu dia tidak beraksi dengan baik tetapi hari ini begitu mengagumkan.”