Angel Correa, Leonardo Balerdi dan Valentin Barco digugurkan daripada skuad Argentina kendalian Lionel Scaloni dalam misi mempertahankan gelaran Copa America.

Scaloni menamakan skuad sementara 29 pemain bulan lalu, dengan Lionel Messi sekali lagi akan mengetuai pasukan itu.

Correa, yang mempunyai 25 penampilan bersama La Albiceleste dan menjaringkan tiga gol, masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan persahabatan menentang Ecuador tetapi diletakkan di bangku simpanan ketika mereka menguji Guatemala, semalam.

Pertahanan Marseille, Balerdi, tidak beraksi untuk pasukan kebangsaannya sejak 2019, manakala Barco hanya mempunyai satu penampilan antarabangsa.

Valentin Carboni, 19, yang diberikan permulaan pertamanya dalam kemenangan 4-1 ke atas Guatemala selain menerima pujian tinggi termasuk daripada Messi mengekalkan tempatnya dalam skuad.

Enzo Fernandez yang terlepas kempen penghujung Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea susulan pembedahan pangkal paha sempat beraksi dalam kedua-dua perlawanan pemanas badan untuk meyakinkan Scaloni bagi menggunakan khidmatnya.

Argentina akan memulakan misi mempertahankan kejuaraan Copa America menentang Kanada dalam Kumpulan A, Jumaat depan.

Senarai 26 pemain Argentina:

Franco Armani (River Plate), Geronimo Rulli (Ajax), Emiliano Martinez (Aston Villa), Gonzalo Montiel (Nottingham Forest), Nahuel Molina (Atletico Madrid), Cristian Romero (Tottenham), German Pezzella (Real Betis), Lucas M. Quarta (Fiorentina), Nicolas Otamendi (Benfica), Lisandro Martinez (Manchester United), Marcos Acuna (Sevilla), Nicolas Tagliafico (Lyon), Guido Rodriguez (Real Betis), Leandro Paredes (Roma), Alexis Mac Allister (Liverpool), Rodrigo De Paul (Atletico Madrid), Exequiel Palacios (Bayer Leverkusen), Enzo Fernandez (Chelsea), Giovani Lo Celso (Tottenham), Angel Di Maria (Benfica), Valentin Carboni (Monza), Lionel Messi (Inter Miami), Alejandro Garnacho (Manchester United), Nicolas Gonzalez (Fiorentina), Lautaro Martinez (Inter), Julian Alvarez (Manchester City).