Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mengesahkan badan induk itu bersetuju melantik bekas perejam skuad kebangsaan, Mohd Futra Abdul Ghani sebagai ketua jurulatih skuad Malaysia B sambil dibantu seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Mohd Hafizie Abdul Manaf serta Mohd Sazuan Zainol selaku jurulatih kecergasan.

Dalam satu sesi sidang media anjuran PSM, Sumali menyatakan seramai 15 pemain telah dipilih menyertai skuad Malaysia B menerusi sesi penilaian yang telah diadakan ketika kejohanan Piala Tun Ali 2023 dan Piala Emas Khir Johari 2024 di Alor Setar, Januari lalu.

"Skuad pelapis negara itu akan menjalani sesi latihan berfasa - satu tahun akan ada empat fasa - mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh PSM dan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Jika diizinkan, lepas Raya lah bermulanya latihan skuad Malaysia B,"kata Sumali.

Sementara itu, Sumali turut memaklumkan bawaha kehadiran dua perunding Thailand yang akan membantu skuad senior lelaki kebangsaan iaitu Poonsak Permsap dan Seksan Tubtong hanyalah untuk tempoh jangka masa pendek bermula 1 Februari hingga 31 Mei.

"Peranan mereka adalah kepada perunding dan membantu ketua jurulatih, Ahmad Jais.

"Ini untuk mempersiapkan pasukan kita menghadapi Piala Dunia pada bulan Mei nanti, sebab itu tempoh khidmat mereka itu singkat,"tegas Sumali.

Bagaimanapun, Sumali juga tidak menolak kemungkinan penyambungan kontrak diberikan kepada kedua-dua pakar itu jika keputusan dalam saingan Piala Dunia nanti memberangsangkan.