Apit kiri, Farhan Adam menganggap pelantikannya sebagai kapten skuad sepak takraw kebangsaan sebagai suntikan semangat untuk mempamerkan prestasi optimum di Kejohanan Piala Dunia ISTAF, Mei depan.

Jelas tonggak berusia 35 tahun itu, dia dan rakan sepasukan berada di tahap terbaik ketika ini ditambah dengan kehadiran dua perunding dari Thailand yang akan membantu ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun.

Tanpa berselindung, pemain yang mesra disapa dengan panggilan Emon itu juga akui tekanan kini di pihak Malaysia memandangkan bakal turun selaku tuan rumah di samping berdepan misi menamatkan badi ketika bertemu musuh tradisi, Thailand di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, kali terakhir Emon menyarung jersi kebangsaan ialah pada temasya Sukan SEA Filipina 2019 yang menyaksikan Malaysia membawa pulang dua pingat perak masing-masing menerusi acara regu dan regu berpasukan.

Dalam Nadi Arena sebentar tadi, dia menyatakan, “saya ambil itu sebagai satu cabaran dan itu adalah tanggungjawab kepada saya dilantik sebagai kapten pada tahun ini,”

“Insya- Allah saya akan membantu pasukan dan membantu barisan jurulatih supaya kita dapat mencapai satu permainan yang sangat terbaik disamping bantuan daripada penyokong-penyokong kita sendiri,”

“Kami kena ambil peluang yang ada apabila perunding dari Thailand datang ke Malaysia dan mereka mempunyai sesuatu yang kita selama ini susah nak jumpa, susah nak dapat, mungkin kami dapat dari situ untuk menambahkan lagi kita punya kualiti sesama pemain negara."