Malaysia selaku penganjur Piala Dunia Sepak Takraw pada Mei depan memperkenalkan trofi pusingan yang diberikan nama Trofi Serumpun dalam majlis pelancaran kejohanan itu hari ini.

Reka bentuk arca tersebut diilhamkan oleh Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan, melalui minatnya terhadap sukan tradisional Melayu itu.

Ia dibuat oleh pakar kraftangan berbakat dari Kraftangan Malaysia.

Edisi kali ini juga merupakan satu-satunya Piala Dunia Sepaktakraw yang memiliki trofi untuk acara berpasukan, sekali gus menjadi sejarah baru sukan sepak takraw.

Tiga tonggak di trofi berkenaan menyerupai tiga pemain sepak takraw, iaitu tekong, feeder dan killer manakala kesatuan menegakkan bola atau dunia sebagai simbolik permainan sepak takraw menyatukan negara dalam satu semangat sukan.

Kehalusan trofi itu diperbuat daripada logam piuter berharga yang disadur dengan emas 24k. Piuter yang terkenal dengan kualitinya yang premium dan berkilau menjadikan trofi itu sebagai hiasan bersejarah yang hebat.

Trofi berkenaan akan disimpan oleh pemenang selama setahun dan perlu dikembalikan kepada PSM, Kuala Lumpur.