Teka-teki mengenai pucuk pimpinan baru Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bagi penggal 2022-25 terjawab lebih awal apabila calon daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Sumali Reduan, sah akan dipilih presiden baru bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Ismail, yang meletak jawatan pada 5 Jun lalu.

Ini selepas badan induk itu mengesahkan tiada sebarang pertandingan merebut kerusi jawatankuasa badan induk itu menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) Sabtu ini.

Kejutan berlaku apabila seorang lagi calon presiden dari Kelantan, Zuraidin Abdullah, dilaporkan menarik diri dan tidak melakukan pengesahan pencalonan menjelang tarikh tutup pada jam 12 tengah hari, hari ini.

Sumali kini akan bekerjasama dengan dua orang timbalan presiden, Datuk Abdul Halim Suleiman dan Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, selain tiga orang naib presiden, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, Datuk Awang Sham Amit dan Datuk Abu Jimi Samat -- kesemuanya menang tanpa bertanding.

Sumali ketika ditemu bual Nadi Arena, berkata: "Saya tidak mahu mengulas panjang buat ketika ini kerana kena tunggu sehingga disahkan dalam AGM PSM pada Sabtu ini.

"Apapun, saya berterima kasih terhadap sokongan daripada negeri-negeri dan rakan-rakan dalam PSM yang telah menyokong saya untuk memimpin PSM bagi penggal 2022-25."