Perenang negara, Welson Sim, mahu membuktikan bahawa dia masih lagi relevan dalam Sukan SEA Hanoi bulan depan biarpun tidak lagi bersama skuad renang negara.

Atlet berusia 25 tahun kelahiran Sarawak itu mengambil keputusan untuk meninggalkan skuad kebangsaan pada Februari lalu atas alasan kemerosotan prestasi dan program latihan yang tidak sesuai.

Baginya, belum tiba masanya untuk dia bersara, bahkan dia kini sedang bertungkus-lumus untuk membuktikan dia masih relevan dalam sukan renang dengan menyumbangkan pingat emas di Vietnam.

Tambahhya, pihak penajanya yang setia bersamanya sejak enam tahun lalu terus memberikan sokongan buatnya menjelang temasya itu.

"Saya benar-benar menghargai penaja saya kerana mereka sudah menaja karier sukan saya sejak 2016," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Ia sudah terlalu lama dan mereka adalah antara penaja pertama yang saya dapatkan dan kekal sehingga sekarang.

"Bagi saya, latihan bukan hanya tertumpu kepada renangan, ada juga aktiviti gimnasium dan apa yang sebenarnya meletakkan kita di prestasi terbaik dalam sukan ini adalah pemulihan," katanya.

Sebagai rekod, Welson telah memenangi tiga pingat emas, enam perak dan tiga gangsa sepanjang penyertaannya dalam Sukan SEA dari 2013 hingga 2019.