Skuad sepak takraw negara berdepan cabaran besar untuk mencapai sasaran pingat dalam Sukan SEA Hanoi bermula bulan depan di sebalik konflik badan induk sukan berkenaan.

Secara keseluruhan, sukan sepak takraw telah menyumbangkan 22 pingat dalam temasya itu dengan empat daripadanya merupakan pingat emas.

Bagaimanapun, dengan konflik dalaman yang dihadapi melibatkan badan induk sukan itu, mampukah skuad negara mencapai sasaran dua perak dan satu gangsa dalam edisi kali ini?

Kemelut yang melanda sukan sepak takraw tanah air masih belum menemui jalan penyelesaian.

Sehingga kini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) masih mengiktiraf Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungan mereka yang sah.

Pada masa sama, Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) telah memberikan sokongan penuh buat Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) selepas melucutkan keahlian PSM.

Dan disebabkan permasalahan itu, skuad sepak takraw negara buat kali pertama dalam sejarah akan bertanding dalam Sukan SEA Hanoi atas tiket MOM tanpa kehadiran PSM.

Dengan sekadar meletakkan sasaran dua perak dan satu gangsa bagi edisi kali ini, ia diharapkan mampu dicapai skuad kebangsaan.

Sebagai rekod, skuad negara berhasil mendapatkan dua perak dan satu gangsa dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Bagi pemerhati sukan sepak takraw negara, Abdul Hafiz Ahmad, nama Malaysia akan tetap berkumandang dalam Sukan SEA kali ini biarpun tanpa penglibatan PSM.

"Ia agak menyedihkan kerana nostalgia PSM dengan sukan sepak takraw sudah berakar umbi sejak tahun 1960," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Pada tahun 1965, tokoh PSM telah mula menamakan sepak takraw sebagai sukan pertandingan dalam Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur.

"Jadi, apabila tiada logo PSM, ia merupakan satu kehilangan yang agak besar buat sukan sepak takraw Malaysia.

"Ia mungkin satu harga mahal yang perlu dibayar oleh PSM gara-gara tidak akur dan tidak patuh terhadap peraturan ASTAF dan ISTAF.

"Jadi, saya melihat ada kebaikan dan keburukannya. Macam mana pun, hidup perlu diteruskan.

"Pasukan Malaysia tetap akan ada untuk bertanding dan membawa nama Malaysia cuma kali ini di bawah naungan MOM," katanya.