Jaguh wushu negara, Wong Weng Son, enggan dipengaruhi tekanan sebagai prospek pingat pertama negara menjelang penyertaannya dalam acara Changquan Ahad ini dalam Sukan Asia Hangzhou.

Weng Son yang juga juara dunia 2017 sebaliknya kekal fokus dan tanpa membuang masa mempersiapkan mental dan fizikalnya sebaik menjejakkan kaki di Hangzhou.

Dua pingat emas ditawarkan dalam saingan hari pertama temasya yang bakal bermula Ahad ini, dengan Weng Son diletakkan sebagai taruhan utama untuk membutirkan pingat untuk negara.

Kekal tenang menanti hari saingan, Weng Son berkata, "Kami baru sahaja tiba dan telah mula berlatih bagi menyesuaikan diri di sini dan berharap untuk melakukan yang terbaik."

Mengenai tekanan, Weng Son berkata, "Tekanan ada, tetapi saya enggan terlalu memikirkan tentangnya dengan memastikan tumpuan penuh bagi saingan yang bakal dihadapi."