Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj, enggan mensia-siakan segala penat lelah selama tiga tahun membangunkan imej dan reputasi skuad negara yang baharu tanpa membawa pulang kilauan pingat emas Sukan Asia Hangzhou.

Arul mengakui indeks prestasi utama (KPI) dalam kontrak yang ditandatangani adalah untuk mengecapi kejayaan di Sukan Asia dan masanya sudah tiba untuk Arul mempertaruhkan nasib untuk muncul juara buat kali pertama dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia.

"Saya memberitahu pemain supaya bermimpi, walaupun sebelum kami memulakan latihan hari ini. Saya mahu mereka menikmati stadium, berjalan-jalan, ia adalah stadium yang cantik. Kami mahu mencipta sejarah dan suka melakukan sesuatu untuk hoki Malaysia dan untuk diri kami sendiri.


"Bagi saya, sudah tentu itulah sebabnya saya pulang (dari Ireland), untuk cuba meletakkan Malaysia kembali ke Sukan Olimpik, ia adalah satu tahap yang indah jika kita dapat memenuhinya. Penangguhan Sukan Asia (selama setahun disebabkan COVID-19), memberi manfaat kepada kami. Saya melihatnya sebagai campur tangan Tuhan untuk membolehkan kita menjadi lebih kuat.

"Kerana dari segi fizikal pemain lebih kuat, perkasa dan mereka telah banyak berkembang sebagai individu. Malah dalam latihan saya dapat lihat, mereka bersemangat,” katanya menerusi Nadi Arena.

Sementara itu, Arul enggan peduli kritikan sesetengah pihak yang merasakan skuad yang dibawa ke Hangzhou bagaikan tidak lengkap tanpa tonggak ikonik seperti Fitri Saari.