Skuad hoki lelaki negara bermula dengan cemerlang dalam usaha memburu pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, selepas membelasah Thailand 9-0 dalam aksi sulung saingan Kumpulan B, di Stadium Gongshu Canal Sports Park hari ini.

Dalam pertembungan itu, skuad bimbingan Arul Selvaraj menerima tentangan daripada Thailand di awal permainan, sebelum berjaya memecah kebuntuan menerusi Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit kelapan.

Malaysia menambah dua gol menerusi Muhammad Firhan Ashari dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, masing-masing pada minit ke-21 dan 30, sekali gus selesa mendahului 3-0 pada penghujung suku kedua perlawanan.

Empat lagi jaringan yang diledak oleh Nik Muhammad Aiman, Muhammad Azrai dan dua gol yang terhasil menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Muhamad Aminudin Mohd Zain meletakkan Malaysia terus selesa mengawal permainan.

Sebelum Abdul Khaliq Hamirin dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar melengkapkan pesta jaringan Malaysia ke atas Thailand.