Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) membuat keputusan keluar daripada Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF) berkuat kuasa semalam untuk kembali berada di bawah naungan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Perkara itu dimaklumkan Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan, dalam satu sidang akhbar disertai Presiden PSTPs, Syed Azmir Syed Ahmad, yang turut memaklumkan perletakan jawatannya sebagai penolong setiausaha agung MASTAF.

"Daripada 18 ahli, sekarang menjadi 19. Kami ada 12 persatuan negeri dan tujuh ahli bersekutu. Sebelum ini ada 16 tak termasuk Perlis tetapi ada dua yang baru, iaitu Majlis Sukan Universiti (Masum) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), memohon untuk menjadi ahli bersekutu.

"Ini menjadikan 18 kesemuanya dan apabila Perlis mengumumkan permohonan untuk kembali memasuki PSM, kami ada 19 kesemuanya," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Dengan kemasukan semula PSTPs, PSM kini mempunyai 19 ahli gabungan yang merangkumi 12 persatuan sepak takraw negeri dan tujuh ahli bersekutu.

MASTAF pula, yang diiktiraf Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dan Persekutuan Sepak takraw Antarabangsa (ISTAF,) hanya mempunyai empat ahli gabungan iaitu Selangor, Sarawak, Putrajaya dan Labuan.

"PSM sentiasa bermesyuarat, berbincang dan kami mengalu-alukan ahli MASTAF untuk bersama-sama dengan kami. Kami memahami kemelut terkini, jadi demi kebaikan sepak takraw di Malaysia, eloklah kita bersama-sama dalam keluarga PSM.

"Saya fikir, langkah dibuat Syed Azmir sebagai satu langkah yang tepat dan saya faham, dia memikirkan demi kebaikan sepak takraw negara, bukan untuk diri sendiri," tambah Sumali.

Kredit: Sinar Harian