Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) sah menerima semula Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebagai ahli gabungannya tanpa sebarang syarat berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun, Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan, berkata permohonan untuk menjadi ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) masih belum ada sebarang jawapan.

Sebagai rekod, PSM digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan sepak takraw dan disingkirkan daripada ASTAF pada April 2021.

"Mereka memang perlu terima kerana antara kuasa besar sepak takraw dunia ialah Malaysia," kata Sumali seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman.

"ASTAF tidak boleh membuang Malaysia selaku salah satu kuasa besar sepak takraw.

"Jadi, sudah pastilah (PSM) perlu diambil balik untuk duduk di bawah ASTAF kerana kalau tidak, sudah pasti kerjasama di antara kami akan semakin renggang dan makin susah, di mana ia akan menjadi konflik yang (semakin) besar.

"Kami juga tidak akan selamanya duduk di luar ASTAF dan ISTAF kerana ia akan menyukarkan kita, di mana ia melibatkan penganjuran Sukan Asia, Sukan SEA dan sebagainya.

"Dan sudah pastilah di pihak negara kita, di pihak PSM sendiri, untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa, sudah pastilah kita meminta kerjasama dengan ISTAF dan ASTAF.

"Permohonan yang dihantar adalah kepada ISTAF dan ASTAF cuma ketika ini, mereka meluluskan dahulu (untuk kami bernaung semula) di bawah ASTAF dan saya percaya dalam masa terdekat ini, mereka akan memberikan kelulusan atau menerima kami untuk berada di bawah ISTAF pula," katanya.