Bekas rakan sepasukan Sarah Yap, Nurul Hidayah Abdul Karim, meluahkan suasananya tidak lagi sama dalam sesi latihan selepas berita persaraan atlet taekwondo itu semalam.

Pahit manisnya, Nurul Hidayah bakal mengambil alih tanggungjawab selaku kapten skuad kebangsaan.

"Sudah tentu saya terkejut sebab saya jangkakan dia akan menyertai kejohanan kebangsaan bulan ini.

"Kami perlu hormati keputusannya, lagipun dia juga ada sejarah kecederaan.

"Memang sebelum ini dia sudah buat yang terbaik dalam kariernya," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.

Walaupun sedih, skuad kebangsaan harus menumpukan latihan untuk Kejohanan Poomsae Taekwondo Kebangsaan secara atas talian yang akan bermula pada 24 Oktober depan.

"Skuad poomsae negara tinggal enam atlet tanpanya.

"Jadi barisan kami kekurangan seorang tetapi rutin latihan setiap hari perlu diteruskan.

"Kami tidak lagi hanya fokus kepada satu kategori sahaja dan sedang berusaha untuk mengekalkan pingat emas Sukan SEA 2019."