Tertangguh selama dua tahun akibat pandemik COVID-19, kejohanan antarabangsa di peringkat akar umbi anjuran Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) iaitu Piala Supermokh akhirnya kembali mewarnai kalendar bola sepak negara pada hujung bulan ini di Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Seperti biasa, pihak seketeriat NFDP telah menjemput akademi-akademi terbaik di Eropah dan Asia untuk sama-sama memeriahkan kejohanan ini seperti kelab Paris Saint Germain, NK Osijek, Chonburi, Cerezo Osaka dan beberapa kelab ternama lagi.

Dengan adanya kejohanan ini sudah pasti ia akan dapat melihat perkembangan terkini pelatih-pelatih di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) terutama pelatih-pelatih di AMD kerana dengan kejohanan ini pelatih-pelatih dapat mempraktikan apa yang telah mereka pelajari terutama falsafah bola sepak yang diwujudkan NFDP.




Selain itu, mereka juga akan menguji sejauh mana kemampuan diri mereka untuk bersaing dengan rakan-rakan mereka dari negara-negara maju dalam sukan bola sepak mereka.

Inilah saatnya pelatih-pelatih NFDP dan AMD mempamerkan keupayaan diri mereka daripada segi pemahaman dalam aspek teknikal dan taktikal.

Mereka juga perlu bijak mengambil kesempatan pada pertandingan ini untuk menonjolkan personaliti diri dan kebijaksanaan dalam mempamirkan kreativiti mereka supaya pihak lawan serta masyarakat Malaysia dapat melihat sendiri peningkatan prestasi pelatih-pelatih NFDP dan AMD yang sudah mula menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa.

Ia juga sungguh bermakna kepada jurulatih-jurulatih di bawah NFDP dan AMD untuk melihat sendiri bagaiman etika bekerja dan sikap profesionalisma dalam melaksanakan tugas oleh rakan-rakan mereka dari negara luar dalam membentuk peribadi dan jati diri mereka serta pelatih.





Pada pengamatan penulis, kejohanan ini amat penting pada NFDP kerana ia bukan sahaja memberikan pendedahan kepada pelatih-pelatih dan jurulatih-jurulatih di bawah program tetapi ia juga jambatan kepada lahirnya bintang-bintang masa depan bola sepak negara dan dunia.

Kejohanan ini juga dapat memberi ruang kepada pengurusan dan jurulatih untuk bertukar-tukar pandangan mereka. Selain itu melalui kejohanan ini juga ia dapat membantu meningkatkan ekonomi setempat melalui “pelancongan sukan".

Sama-sama kita memeriahkan Supermokh edisi ke enam dengan memberi sokongan kepada pelatih-pelatih NFDP,AMD dan jurulatih-jurulatih untuk terus mertabatkan bola sepak Malaysia.