Tiga tahun penganjuran Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), keberkesanan program yang dilabel sebagai misi nasional ini perlu dibuktikan dengan menepati sasaran beraksi dalam Piala Dunia Bawah 17 tahun pada 2019.

Misi negara yang dicanang sejak 2014 ini perlu dibuktikan keberkesanannya.

Justeru, tanggungjawab pertama ini perlu digalas peserta NFDP dari kelompok pertama yang diharapkan mampu membawa nama negara beraksi dalam Piala Dunia Bawah 17 tahun.

Peserta dari kelompok pertama atau digelar sebagai atlet senior elit yang berusia 15 tahun kini memiliki tempoh dua tahun dari sekarang untuk merealisasikan hasrat dan misi nasional ini.

"Kalau nak bercakap soal kelayakan Piala Dunia Remaja Bawah 17 tahun, ia akan berlangsung dalam dua tahun lagi," kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

"Ia akan menjadi pentas buat generasi pertama NFDP ketika ini," tambahnya.

Khairy turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak, situasi membabitkan Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim bakal berulang sebaik mereka mula mendapat tawaran daripada persatuan negeri dan kelab.

Tegasnya, sasaran utama membabitkan pemain NFDP adalah beraksi di kelab luar negara, yang dilihat lebih membantu untuk menyediakan produk terbaik skuad kebangsaan yang turut memiliki sasaran beraksi dalam Piala Dunia 2026.

"Masa depan mereka adalah untuk bermain di luar negara. Kita telah menerapkan falsafah ini sejak tiga tahun yang lalu.

"Kita tidak mahu mereka memasang cita-cita untuk beraksi di Malaysia," tambahnya.

NFDP adalah satu projek jangka panjang dalam menyediakan barisan pelapis bukan sahaja pemain, malah jurulatih berkelayakan yang akan didedahkan kepada aspek penting dalam bola sepak.

Program ini meletakkan sasaran 50,000 pemain menjelang tahun 2020.