Selepas bekerja keras selama lima hari akhirnya pasukan AMD Dream B-13 kendalian Ekhsan Bukharee telah muncul sebagai juara bagi kategori bawah 13 tahun Kejohanan Supermokh Edisi Ke-7 di Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, pagi tadi.

Ini merupakan pencapaian terbaik skuad muda AMD B-13 setelah berjaya menewaskan pasukan Lech Poznan FC dari Poland melalui sepakan penalti (5-4) apabila perlawanan sebenar terikat dengan keputusan seri (1-1).

Walaupun AMD Dream B-13 mendahului jaringan dalam separuh masa pertama melalui Muhammad Harraz Ajwad, namun pemain-pemain muda Lech Poznan tidak berputus asa dan bangkit untuk menguasai permainan.

Dengan menggunakan kekuatan yang ada pada Mrowinski Marcel sebagai pemain sayap kiri, ia memberi tekanan di benteng pertahanan AMD Dream B-13 dengan memiliki kepantasan dan skil individu yang baik sebelum Mrowinski Marcel melakukan hantaran tepat kepada Pisarek Bogdan yang berada di kedudukan terbaik untuk menjaringkan gol penyamaan dalam separuh masa kedua.




Apa yang menarik tentang perlawanan akhir kejohanan Supermokh edisi ke 7 di antara kedua-dua pasukan ini apabila penulis dapat melihat sendiri bagaimana pemain-pemain muda dari Poland itu berjaya mempamirkan teknik individu dan keputusan-keputusan yang tepat ketika membuat keputusan selain bijak dalam mengawal tempo permainan.

Inilah kualiti yang ditampilkan oleh anak-anak muda dari kelab Lech Poznan itu dalam Kejohanan Supermokh edisi ini.

Ini merupakan satu pengalaman yang berguna kepada pemain-pemain muda AMD Dream B-13 apabila dapat beraksi dengan pasukan yang mempunyai kualiti. Dari perlawnaan akhir itu penulis mengharapkan anak didik Ekhsan Bukhree dapat mempelajari bagaimana membuat keputusan-keputusan tepat dan pantas berfikir.

Selain itu mereka juga perlu terus meningkatkan teknik individu serta memperbanyakkan mengesan situasi selain menitikberatkan sentuhan pertama.

Haisl pertandingan ini juga membuka peluang kepada pemain cilik negara untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada diri mereka menuju masa hadapan yang lebih gemilang.