Peringkat suku akhir menjadi sasaran pasukan Selangor menjelang Kejohanan Edisi Ke-57 Piala Emas Khir Johari, menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Syahril Rashid.

PSS menganggap ia sasaran realistik memandangkan skuad kali ini dibarisi rata-rata muka baru selain percaya musim 2024 mampu menjadi tahun kebangkitan Selangor yang pernah muncul antara kuasa besar sukan sepak takraw negara.

"Kami tetapkan sasaran ke suku akhir. Sekali lagi kami bawa pemain muda dengan menjadi objektif Selangor kembali ke tempat dia.

"Kami tidak pernah gentar untuk membariskan pemain muda berbakat yang menunggu peluang bermain.

"Kami percaya dan kami adalah pejuang untuk mendapatkan kemenangan yang diimpikan," kata Syahril di Nadi Weekend.

Sementara itu, ketua jurulatih, Noor Azman Abdul Hamid, percaya pasukannya mampu mencipta kejutan meskipun diletakkan bersama juara bertahan, Johor dalam Kumpulan A.

Tidak menolak bakal berdepan misi getir untuk mara ke suku akhir, Noor Azman yang juga bekas tekong kebangsaan berpandangan barisan pemainnya memiliki semangat juang luar biasa untuk menghadapi kejohanan kali ini.

"Saya sahut cabaran untuk bagi ilmu kepada muka baru.

"Walaupun dianggap 'underdog', kami mahu dikenali sebagai pejuang.

"Sebagai bekas pemain, saya yakin kemampuan anak-anak buah," katanya pula.