Ketua jurulatih sepak takraw Kuala Lumpur, Azhar Sarabini, menegaskan pasukannya bakal turun dalam Kejohanan Piala Emas Khir Johari 2024 dengan status bukan pilihan memandangkan dibarisi rata-rata pemain muda.

Azhar yang kembali membimbing Kuala Lumpur musim ini turut berharap agar pemain senior yang masih kekal seperti Amirul Zazwan Amir, Aizat Nor Azmi dan Aidil Aiman Zawawi mampu memberi impak positif kepada pasukan di samping membimbing barisan pemain muda.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menaruh kepercayaan penuh kepadanya untuk mengendalikan pasukan musim ini.

Azhar muncul selaku watak penting yang pacu Kuala Lumpur menjulang tiga kejuaraan Piala Emas Khir Johari dalam edisi 2014, 2015 dan 2017.
"Kami masih mengekalkan pemain sedia ada.

"Mungkin ada pemain yang keluar dan kami mahu memperkenalkan pemain pelapis.

"Mungkin peminat akan dapat lihat pemain baru rata-rata akan beraksi.

"Walaupun akan turun sebagai underdog tapi mungkin rezeki kali ini Kuala Lumpur muncul juara," katanya di Nadi Arena, sebentar tadi.