Gareth Bale akur bahawa perjalanan Wales untuk kekal dalam Piala Dunia di Qatar makin samar berikutan kekalahan 0-2 kepada Iran, malam tadi.

Bale menjadi pemain paling kerap mewakili buat Wales dengan membuat penampilan antarabangsa yang ke-110 di Stadium Ahmed bin Ali, tetapi dia sama sekali tidak terdaya membantu pasukannya lalu memberi tamparan hebat kepada harapan pasukannya untuk melolosi Kumpulan B.

Jaringan Roozbeh Cheshmi dan Ramin Rezaeian pada masa kecederaan menyaksikan Iran memanfaatkan kad merah yang dilayangkan terhadap penjaga gol, Wayne Hennessey, sekali gus mencatat kemenangan pertama mereka ke atas lawan Eropah itu dalam Piala Dunia (rekod pertemuan menang sekali, seri dua kali dan tujuh kekalahan).

Sementara itu, Wales, wajib menewaskan England dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Rabu ini, bagi menghidupkan sisa peluang mereka untuk melanjutkan kempen Piala Dunia pertama mereka sejak 1958, lantas Bale sedar mereka berdepan tugas berat.

"Ia cukup memeritkan, kami kecewa, tidak ada cara lain lagi untuk mengungkapnya," katanya kepada BBC Sport.





“Kami bertarung sehingga detik terakhir dan ia adalah salah satu penyebabnya (hati remuk).

"Sukar untuk ditelan tetapi kami perlu memulihkan diri dan berjuang semula. Kami semua kecewa tetapi kami perlu bangkit segera.

"Ia akan menjadi sukar tetapi kami mempunyai satu lagi perlawanan, kami perlu cuba melihat setiap perkara yang positif dan menikmati peluang tersebut."

Wales kini kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan -- rekod terburuk mereka sejak 2003.