VILLARREAL 0 REAL MADRID 0

Carlo Ancelotti sedang mempertimbangkan untuk menurunkan Gareth Bale dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG) awal pagi Rabu ini selepas penyerang itu membuktikan dia masih mampu untuk dipertaruhkan Real Madrid.

Bale agak tenggelam pada awal perlawanan LaLiga menentang Villarreal di tempat lawan malam tadi tetapi segera mendapatkan rentak dan menjadi pemain paling berbahaya di atas padang sepanjang baki aksi.

Pemain kebangsaan Wales itu melakukan enam percubaan dan tiga daripadanya diselamatkan oleh ketangkasan penjaga gol lawan, Geronimo Rulli, untuk kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan -- keputusan seri kelima berturut-turut Madrid di gelanggang Villarreal.

Mengambil kira ia merupakan perlawanan pertamanya sejak Ogos lalu, Bale berhasil mengubah permulaan goyahnya dalam perlawanan itu kepada persembahan yang benar-benar kukuh.

Kini, dia mungkin akan dipertaruhkan sebagai penyerang utama ketika Madrid bertandang ke laman PSG bagi perlawanan pertama pusingan 16 UCL.

Karim Benzema mungkin sudah kembali cergas untuk diturunkan dalam perlawanan itu dan Luka Jovic juga boleh menjadi pilihan lain buat Ancelotti selepas pemain itu hampir meraih gol kemenangan ke atas Villarreal selepas menggantikan Bale.

Ditanya mengenai kemungkinan Bale akan mengetuai jentera serangan di Paris, Ancelotti berkata: "Saya tidak tahu, kami perlu menunggu dan melihat apa yang akan berlaku dalam beberapa hari ini. Harap-harap semua pemain kami dapat kembali diturunkan.

"Dia mendapat peluang dan dia memanfaatkannya. Dia boleh menjaringkan gol, dia amat berbahaya.

"Dia telah melakukan kesemua yang kami mahukan daripadanya.

"Dia mengalami kecederaan serius pada September lalu, ketika kami sudah mula bermain.

"Ia sesuatu yang sukar buatnya untuk kembali mendapatkan rentak dan mengelakkan kecederaan.

"Hari ini, dia telah membuktikan yang dia masih layak untuk bersama kami dan dia masih komited," katanya.