Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) memandang serius pembangunan akar umbi sukan itu agar tidak ketandusan pemain baru berkualiti.

Selepas kejayaan sukan bola sepak dan hoki mewujudkan program pembangunan sistematik menerusi Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) dan Program Pembangunan Hoki Kebangsaan (NHDP), kini giliran PSM untuk memiliki program sama.

Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan, berkata program pembangunan sukan itu sudah dijalankan sejak dahulu lagi tetapi dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSDP), ia akan menjadi satu usaha yang lebih komprehensif melibatkan enam zon di seluruh negara.

"Kali ini, ia lebih menyeluruh dan betul-betul fokus untuk mencari bakat baru di peringkat akar umbi, bermula di sekolah dan mungkin di tempat-tempat lain selain sekolah," kata Sumali kepada wartawan Astro Arena, Syifa Nasir.

"Saya rasa gembira kerana wakil-wakil daripada Jabatan Pendidikan Negeri dan unit sukan semuanya hadir untuk bersama dalam bengkel yang kami adakan selama dua hari sehingga esok.

"Inilah yang kami tunggu-tunggu jika bercakap tentang pembangunan dan jika ia berjaya, Insya-Allah ia akan lebih konsisten dan berstruktur kerana MSN akan membantu daripada sudut mana yang mereka boleh bantu," katanya.