Kemelut pengurusan sukan sepak takraw negara berpanjangan apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dilaporkan tidak boleh sewenang-wenangnya menggugurkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) daripada naungan mereka.

Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) bertindak melucutkan keahlian PSM selepas didapati melanggar perlembagaan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF).

Sebelum ini, MOM pernah mengesahkan bahawa mana-mana persatuan yang disingkirkan daripada badan sukan dunia boleh disingkirkan daripada MOM.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib, dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, berkata pihaknya akan membawa isu berkenaan ke dalam Mesyuarat Ahli Lembaga MOM pada Sabtu ini bagi menentukan status PSM memandangkan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) juga sudah menghantar permohonan untuk berada di bawah naungan badan induk itu.

"Statusnya, mereka masih lagi ahli gabungan MOM," kata Nazifuddin.

"Cuma, sekiranya mereka perlu dikeluarkan, ia memerlukan proses.

"Kalau kita lihat seperti (persatuan) bola baling dahulu, walaupun mereka berhutang dan perlu dikeluarkan, kami masih memberi ruang untuk mereka membayar dan ada prosesnya.

"Sama juga dengan isu PSM, kami akan mengeluarkan surat untuk mereka menjelaskan status mereka dan memberikan masa untuk mereka menyelesaikan isu dalaman," katanya.