Pendaki pasukan EF Education-Easypost, Simon Carr, menakluki Genting Highland untuk menjuarai saingan peringkat kelima perlumbaan berbasikal Le Tor de Langkawi (LTdL) hari ini.

Saingan hari ini bermula lancar dengan lima pelumba melakukan pecahan awal menuju ke zon pecutan pertama di Tanjung Malim, di mana pelumba 7-Eleven Cliqq, Ruan Tugawin, kemudian memenangi zon berkenaan.

Simon Pellaud daripada pasukan Tudor Pro Cycling Team menakluki zon pendakian pertama di Rawang Baypss, sekali gus menutup peluang pakar pendakian Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Nur Aiman Zariff, untuk menyarung jersi polkadot tahun ini.

Pelumba Green Project, Manuel Tarozzi, muncul terpantas zon pecutan kedua di Gombak selepas mendahului tiga minit di depan peloton.

Seperti yang dijangkakan, Pellaud sekali lagi mengungguli zon pendakian kedua di Bentong sebelum peloton menghambat barisan pelumba kelompok depan menuju ke zon pendakian terakhir.

Carr kemudian membuktikan dia masih ada tenaga untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat, sekali gus memenangi peringkat kelima.

Keputusan itu, bagaimanapun, tidak dapat menghalang Pellaud untuk sah bergelar raja bukit bagi edisi ini.

Carr berkata kepda wartawan Astro Arena, Kamal Nizam: "Sudah pasti ia pendakian yang sukar dan saya fikir kami telah melakukan yang terbaik secara berpasukan untuk meneruskannya dan saya amat gembira dapat menamatkannya."